Saturday 20 September 2014

PM Umum Dua Hadiah Untuk Rakyat Terengganu


Rakyat Terengganu menerima dua berita gembira hasil kunjungan Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak hari ini apabila mengumumkan Kuala Nerus sebagai daerah baharu serta pembinaan Hospital Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di kampus universiti itu di Gong Badak, Kuala Terengganu.




“Maka orang-orang di Kuala Nerus  mendapat dua benda,  iaitu dapat Hospital UniSZA dan dapat daerah yang baharu, jadi inilah satu hari yang cukup istimewa khusus kepada tuan-tuan dan puan-puan yang tinggal di Kuala Nerus.

“Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif dengan wajah Terengganu baharunya, dengan perancangan untuk membawa lebih banyak kemajuan dan pembaharuan kepada Terengganu. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pelajaran dan UniSZA yang telah menjayakan perhimpunan kita pada hari ini, “ katanya ketika berucap di Majlis Pecah Tanah Projek Hospital UniSZA, di UniSZA Kampus Gong Badak.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman, Menteri Pendidikan Kedua, Dato’ Seri Idris Jusoh dan Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato’ Dr. Yahaya Ibrahim.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Speaker DUN, Dato’ Mohd Zubir Embong; Exco Kerajaan Negeri dan Adun-Adun.

7 (2)


Najib berkata, kewujudan daerah baharu itu disokong dengan pertumbuhan pelbagai pembangunan di kawasan setempat seperti institusi pengajian tinggi yang diiktiraf seperti Hospital UniSZA, Kampus Gong Badak, Universiti Malaysia Terengganu, Institut Perguruan Kampus Dato’ Razali dan Institut Latihan Perindustrian Gong Badak.

“Antara lain yang terdapat di Kuala Nerus adalah Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Stadium Tertutup Gong Badak dan Jambatan Sultan Mahmud. Banyak lagi rancangan-rancangan yang akan dilaksanakan sebagaimana yang dimaklumkan kepada saya oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Razif sebentar tadi, setibanya saya disini, bahawa kampus ini bersebelahan dengan bandar baharu Kuala Nerus yang akan menjadi kenyataan tidak lama lagi.

“Selain daripada itu, tempat ini juga dikatakan tempat pelancongan yang terkenal dengan ICT, iaitu ikan celup tepung  bukan `information and communication technology’, sebaliknya sotong goreng dan keropok lekor,” ujar beliau sambil berseloroh.

1 (2)

Najib berkata, tapak pembinaan hospital turut berada dalam kawasan Kuala Nerus dan Kuala Nerus pula  merupakan mukim yang terdapat di daerah Kuala Terengganu dengan keluasan 39,890 hektar serta memiliki lebih daripada 200,000 penduduk.

Dalam pada itu, beliau berkata  pembinaan hospital yang bukan sekadar menawarkan perkhidmatan perubatan, malah merangsang ekonomi setempat untuk kesejahteraan sosial rakyat itu akan  menjadi mercu tanda baharu kepada Terengganu amnya, dan UniSZA khasnya.

Katanya, projek Kerajaan Pusat itu melibatkan 400 katil keseluruhan yang  akan dilaksanakan secara dua fasa membabitkan kos RM350 juta bagi menyediakan  200 katil bagi fasa pertama menerusi Rancangan Malaysia Ke-10 dan 200 katil lagi bagi fasa kedua (RMK11).

Kos pembinaan hospital yang memiliki kemudahan dan teknologi setanding hospital pakar lain di malaysia itu, dianggarkan bernilai kira-kira RM600 juta di kawasan seluas 20.2 hektar dan dijangka siap menjelang akhir 2017 selepas kerja pembinaan bermula suku ketiga tahun ini.